
Tidak!
Cinta yang suci tidak buta. Orang beriman tetap celik walaupun sedang
dilamun bercinta. Mereka masih tahu dan mampu melihat serta menilai yang
mana baik, yang mana buruk, yang mana halal, yang mana haram sewaktu
bercinta.
Namun
sekiranya buta yang dimaksudkan tidak nampak lagi segala kesusahan demi
mendekatkan diri kepada yang dicintainya (Allah)… ya, cinta orang
beriman memang buta. Orang yang beriman tidak nampak lagi ranjau duri
untuk mendekatkan diri kepada Ilahi.
Pernah
Sayidina Abu Bakar ra pernah berkata kepada anaknya, “jika aku menemui
mu dalam perang Badar dahulu, aku sedikit pun tidak teragak-agak untuk
membunuh mu!” Mus’ab bin Umair pula pernah berkata kepada ibunya, “jika
ibu punya 100 nyawa dan nyawa itu keluar satu persatu, saya tidak akan
meninggalkan agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad.”
Ya,
cinta orang beriman itu buta. Tetapi bukan buta melulu. Yang buta
melulu hanyalah cinta orang yang lemah iman. Cinta itu telah dikotori
oleh kehendak nafsu dan bujukan syaitan. Apa sahaja yang disuruh oleh
nafsu dan dihasut oleh syaitan akan diikuti. Cinta buta oleh orang yang
buta mata hatinya sanggup mengorbankan maruah, harga diri malah membunuh
demi cintanya. Memang benar kata pepatah Arab, seseorang itu menjadi
hamba kepada “apa” atau “siapa” yang dicintainya.
Kalau
sudah cinta, kita jadi “buta” terhadap penderitaan, kesusahan dan
segala keperitan demi menyukakan hati orang yang kita cintai. Oleh itu
bertuah sekali jika orang atau apa yang kita cintai itu adalah orang
yang baik atau sesuatu yang baik, maka kita akan menjadi hamba kepada
orang yang baik dan kebaikan.
Sebaliknya,
jika yang kita cintai adalah kejahatan atau orang yang jahat… kita akan
diperhambai sentiasa kepada kejahatan. Firaun mati lemas kerana
diperhamba kuasa. Manakala Qarun ditelan bumi akibat diperhamba harta.
Dan berapa ramai negarawan, hartawan dan bangsawan yang kecundang kerana
cintakan wanita? Orang mukmin itu sangat cinta kepada Allah. Firman
Allah: “Orang mukmin itu sangat bersangatan cintanya kepada Allah.” Al
Baqarah 165.
Justeru,
cinta orang mukmin itu “buta” kepada sebarang kesusahan demi menunaikan
perintah Allah. Orang mukmin rela mengorbankan segala kesukaan atau
kesenangan dirinya apabila semua itu melanggar perintah Allah. Tidak ada
istilah tidak apabila berdepan dengan perintah Allah. Mereka akan
berpegang kepada prinsip “kami dengar, kami taat” setiap kali mereka
mendengar ayat-ayat cinta (Al Quran) yang datang daripada Allah.
Apabila
berdepan dengan cinta Allah, segala cinta yang lain akan menjadi kecil
dan terpinggir. Bayangkan kecintaan Rasulullah saw terhadap bapa
saudaranya Abu Talib – orang yang membela dan melindunginya semasa susah
dan senang. Bukan sahaja tubuh badan Rasulullah saw dipertahankan oleh
Abu Talib tetapi beliau juga telah memberi kasih-sayang, perhatian,
simpati dan empati yang tidak berbelah bagi kepada Nabi Muhammad saw.
Ya,
Nabi Muhammad s.a.w dan Abu Talib saling cinta mencintai. Bayangkan
hingga ke saat-saat kematian Abu Talib, nabi Muhammad saw terus
berdakwah, merayu dan membujuk agar bapa saudaranya itu beriman. Tetapi
Subhanallah! Allah Maha Tahu dan Maha Berkuasa terhadap petunjuk dan
hati para hamba-Nya. Hidayah milik Allah. Dan hidayah itu tidak
diberikan-Nya kepada Abu Talib atas sebab-sebab yang hanya DIA yang
mengetahuinya. Lalu matilah Abu Talib dalam keadaan tidak beriman…
Betapa
sedihnya hati Rasulullah saw tidak dapat digambarkan lagi oleh
kata-kata. Dan pada hari kematian Abu Talib, bersimpuhlah baginda dalam
doa demi keselamatan ayah saudaranya yang telah pergi. Namun apa jawapan
Allah? Allah menegur dan melarang baginda daripada berdoa untuk
keselamatan Abu Talib. Kerana apa? Kerana Abu Talib tidak beriman.
Walaupun Allah Maha mengetahui betapa cintanya Rasulullah saw… tetapi
Allah mendidik hati seorang Nabi agar berkata tidak walaupun ketika hati
terlalu cinta!
Begitulah
jua jalur cinta yang luar biasa oleh insan-insan luar biasa sebelum
diutuskan Nabi Muhammad saw. Bagaimana Nabi Nuh as, dididik oleh Allah
agar berkata “tidak” ketika teringat dan merasa kasihan kepada anak dan
isterinya yang derhaka. Menyusul kemudiannya Nabi Luth as yang
diperintahkan meninggalkan keluarga yang tercinta tanpa boleh menoleh
lagi ke belakang.
Menyusul
lagi kemudiannya Nabi Ibrahim as yang pada mulanya rela berpisah dengan
bapanya yang menyembah berhala, dan selepas itu rela pula menyembelih
anaknya Nabi Ismail demi cintanya kepada Allah. Nabi Nuh, Luth, Ibrahim
dan akhirnya Nabi Muhammad s.a.w telah berkata “tidak” kepada
cinta-cinta yang lain kerana cinta mereka pada Allah. Lalu di manakah
letaknya cinta kita?
Muhasabah
kembali cinta antara suami-isteri yang mendasari dan menghiasi rumah
tangga kita…. Apakah pernah cinta kita berkata, “tidak”? Ah, tanpa
disedari kerap kali kehendak isteri atau suami diturutkan sahaja
walaupun jelas bertentangan dengan kehendak Allah. Atau kekadang kita
sudah bisu untuk menegur kesalahannya kerana terlalu sayang. Sudah
ketara, tetapi masih dipandang sebelah mata. Sudah menonjol, tetapi kita
pura-pura tidak nampak.
Kekadang
ada isteri yang sudah semakin “toleransi” dalam hukum penutupan aurat.
Malangnya, sisuami biarkankan sahaja tudungnya yang semakin singkat,
warnanya yang semakin garang, saiznya yang semakin sendat dan melekat…
Ada masanya tangannya sudah terdedah melebihi paras yang dibenarkan,
anak tudungnya telah terjulur dan helaian rambutnya sedikit berjuntaian…
Itu pun masih didiamkan oleh sisuami. Mengapa begitu? Mungkin kerana
terlalu sayang…
Kekadang
solat nya pasangan kita sudah mula culas. Tidak menepati waktu dan
terlalu “ringkas” pula… Itu pun masih kita biarkan. Mungkin ketika si
suami melangkah ke surau atau ke masjid, si isteri masih leka dengan
aktiviti rumah yang tidak kunjung reda. Dan keutamaan mengerjakan
menyegerakan solat tepat semakin hari semakin dipinggirkan. Pernah
ditegur, tetapi mungkin kerana keletihan si isteri jadi sensitif dan
merajuk. Tarik muka. Masam wajahnya. Maka suami jadi “jeran” dan
mengalah untuk tidak menegur lagi. Kerana apa? Kerana sayang…
Si
suami pula kekadang sudah semakin merosot pengamalan Islamnya. Kalau
dulu rajin menghadiri kuliah, melazimi solat berjemaah, bersedekah dan
berdakwah tetapi entah kenapa “:semangat” Islamnya merudum tiba-tiba,
roh dakwahnya meluntur, mula malas-malas, leka dengan program TV dan
aktiviti-aktiviti yang tidak menyuburkan iman dan Islamnya… si isteri
melihat dari dekat.
Itu
perubahan yang membimbangkan, detik hati isteri. Ingin menegur, tapi
malu. Ingin menasihati, takut dibentak. Dari sehari ke sehari
kemerosotan itu dibiarkan. Akhirnya keinginan-keinginan itu menjadi
dingin… biarlah dulu. Tunggulah lagi. Ah, semuanya… demi cinta!
Seakan
telah dilupakan dahulu kita bernikah kerana Allah. Dihalalkan pergaulan
kita antara suami isteri atas kalimah Allah. Ingat kembali kalimah
syahadah dan istighfar yang diulang-ulang oleh Tok Khadi sebagai
pembersihan hati dan taubat sebelum tangan dijabat untuk aku janji
menerima satu amanah. Nikah diterima, ijab kabul dilafazkan dengan
kehadiran wali dan saksi…dan bercintalah kita kerana Allah.
Itulah
pangkal perkahwinan setiap pasangan muslim. Untuk mengekalkan cinta,
relalah berkata tidak kepada kemungkaran yang dilakukan oleh pasangan
kita. Berani dan tegalah berkata tidak apabila Allah dan hukum-Nya
dipinggirkan oleh suami atau isteri kita.
Sayidina
Abu Bakar pernah memerintahkan anaknya menceraikan isteri yang baru
dikahwini oleh anaknya bila didapati anaknya itu mula culas solat
berjemaah di masjid kerana leka melayani isteri barunya. Nabi Ibrahim
pula pernah berkias agar anaknya Ismail menukar palang pagar rumahnya
(isyarat menceraikan isterinya) apabila didapati isterinya itu tidak
menghormati orang tua.
Jika
kita undur selangkah ke belakang dalam pengamalan syariat, anak-anak
akan undur sepuluh langkah ke belakang. Sedikit ibu-bapa tergelincir,
terperosok anak ke dalam lubang kemungkaran. Sebab itu sering berlaku,
apabila ibu tidak lengkap dalam menutup aurat anak-anak perempuannya
akan lebih galak mendedahkan aurat. Lambat sibapa dalam mengerjakan
solat, anak-anak akan berani pula meninggalkan solat. Sedikit ibu-bapa
terpesona dengan dunia, anak-anak akan terleka dalam mencintainya!
Betapa
ramai ibu-bapa yang hakikatnya “menghumban” anak mereka ke neraka
kerana dibiarkan melakukan kejahatan tanpa teguran. Ada yang terlalu
cintakan anak, hingga dibiarkan anak-anak tidak solat Subuh, konon
katanya kasihan nanti anaknya mengantuk kerana kurang tidur. Ada pula
anak-anak yang sudah besar panjang tetapi masih tidak dilatih berpuasa
kerana tidak sampai hati anak-anak melihat anak-anak kelaparan dan
kehausan. Apabila anak-anak pulang lewat malam, ada ibu-bapa yang begitu
“sporting” berkata, “Biarlah… muda hanya sekali, biarkan mereka
bersuka-suka, tumpang masih muda!”
Susah
benarkah untuk melihat anak-anak, isteri atau suami bersusah-susah
kerana Allah? Padahal kesusahan yang sedikit dan sementara di dunia ini
adalah suatu yang lumrah demi mendapat kesenangan yang melimpah dan
kekal abadi di akhirat kelak?
Jangan
kita dibutakan oleh cinta nafsu kerana cinta nafsu itu bersifat melulu.
Cintailah sesuatu kerana Allah, insya-Allah, cinta itu akan sentiasa
celik untuk melihat kebenaran. Rela dan tegalah berkata tidak demi
cinta. Cintalah Allah dan selalu menjaga hukum-hakam-Nya. Bila cinta
kita kerana yang maha Baqa (kekal), maka itulah petanda cinta kita
sesama manusia akan kekal.
Marah
biar kerana Allah. Justeru kemarahan kerana Allah itulah yang akan
menyuburkan rasa cinta kita. Bila hak Allah diabaikan, bila
hukum-hakam-Nya dipinggirkan, katakan tidak… cegahlah kemungkaran itu
dengan kuasa dan dengan kata-kata. Biarkan cinta mu berkata tidak!
Insya-Allah cinta itru akan kekal sampai bila-bila…
No comments:
Post a Comment